SEJARAH

SEJARAH SEKOLAH SK JALAN PASAR 1


Sekolah ini ditubuhkan pada tahun 1936. Nama asalnya ialah Sekolah Melayu Pasar Road. Nama ini dipilih kerana kedudukannya yang berhampiran dengan Pasar Road (Jalan Pasar). Namanya mempunyai unsur Inggeris kerana pada masa itu negara kita berada di bawah pemerintahan Inggeris. Sekolah ini merupakan sekolah melayu yang tertua di negeri Selangor Darul Ehsan.


Semasa pemerintahan Jepun (1942-1945) sekolah ini ditutup kerana dijadikan markas tentera Jepun dan murid-murid dipindahkan ke Sekolah Melayu Bukit Bintang. Setelah Jepun menyerah kalah (1945) sekolah ini dibuka semula. Guru Besar yang ditugaskan ialah En. Jauhari b. Husin. Bilangan guru pada masa itu ialah 7 orang dan murid 70 orang.
Bilangan murid telah bertambah dari tahun ke tahun. Pada tahun 1958, sekolah ini dipecahkan kepada dua pentadbiran (Guru Besar) tetapi masih menggunakan bangunan yang sama. Nama ditukar kepada Sekolah Kebangsaan Jalan Pasar 1 (SKJP 1). Pada masa ini SKJP 1 mempunyai 2 blok bangunan yang diperbuat daripada separuh batu dan separuh papan. Bilangan murid adalah 420 orang dan bilangan guru ialah 14 orang.


Pada 14 Februari 1965, sekolah ini ditutup sekali lagi atas perintah Pengarah Pelajaran Selangor kerana ia termasuk di dalam kawasan perintah berkurung disebabkan oleh rusuhan.

Bilangan murid terus meningkat. Pada tahun 1976, bilangannya seramai 637 orang. Tahun 1978, bilangannya meningkat menjadi 750 orang dan seterusnya pada tahun 1993, bilangan murid seramai 1040 orang.

Beberapa bangunan batu juga terpaksa dibina untuk menampung pertambahan murid. Hasilnya pada tahun 1976, bangunan 3 tingkat yang merupakan bangunan utama sekolah sekarang telah siap dibina. Semua perbelanjaan dibiayai oleh kerajaan.

Selain daripada bilik darjah, sekolah ini juga mempunyai sebuah. klinik pergigian, 2 buah bilik Guru Besar, sebuah bilik Penolong Kanan, sebuah Pusat Sumber, sebuah Bilik Tayangan, sebuah Bilik Komputer dan beberapa tandas. Di samping itu terdapat juga satu blok surau, kantin dan kedai buku

Pada asalnya keluasan sekolah ini ialah lebih kurang 1.5 hektar, Keluasan ini berkurangan sedikit kerana sebahagiannya diambil untuk membina Sekolah Menengah Putri Jaya dan sebatang jalan raya. Keluasan pada masa sekarang ialah lebih kurang 1.1 hektar.



Pada tahun 1981, Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan projek bangunan pusat sumber. Sebanyak 25 sekolah dari seluruh negara dipilih untuk mejayakan projek ini. Sekolah ini amat bertuah kerana satu-satunya sekolah di Wilayah Persekutuan yang dipilih untuk tujuan tersebut.

Pada tahun 1982, sekolah dipilih menjadi tempat pelancaran rasmi untuk projek ini. Perasmiannya dilakukan oleh Y.B. Dr. Tan Tiong Hong (Timbalan Menteri Pelajaran). Sehubungan dengan itu, satu pameran telah diadakan. Bermula dari sinilah ramai guru-guru dan pelawat-pelawat dari luar negara yang datang melawat pusat ini. Antaranya Menteri Pelajaran Brunei, Menteri Pelajaran Thailand, Pegawai Pelajaran dari Indonesia, Sri Lanka, Britain, Amerika Syarikat dan lain-lain.

Sekolah ini juga mengadakan beberapa projek seperti Hari Sukan, Hari Ucapan, Khemah Kerja dan sebagainya. Beberapa orang kenamaan telah menderma bagi projek tersebut. Mereka ialah Y.B. Dato' Ahmad Razali Mohd Ali, En. Alex Lee, Dr. Leela Ratos, YM Dr. Ungku Omar, En. Melan Abdullah dan lain-lain lagi.

Beberapa orang kenamaan pernah datang untuk merasmikan upacara yang dijalankan oleh pihak sekolah. Antara mereka ialah Y.B. Tan Sri Aishah Ghani, Y.B. Tan Sri Syarif Ahmad dan Y.B. Tan Sri Murad Mohd Noor.

Selain bidang akademik dan sukan, sekolah ini juga aktif dalam kegiatan  kelab dan  persatuan. Sebagai  bukti  pada tahun  1973, Mastura Mohd Dali (Kelab Kesenian dan Kebudayaan) telah berjaya menjadi johan pakaian beragam sempena Hari Kanak-kanak Sedunia Peringkat   Megeri   Selangor.   Kelab   Bahasa   Melayu   juga   pernah menggondol   hadiah   pertama  dalam  pertandingan  drama  sekolah-sekolah Kuala Lumpur Selatan pada tahun 1974 dengan drama yang berjudul 'TERBUNUHNYA BENDAHARA SRI MAHARAJALELA".

Pada tahun 1999, bangunan baru 3 tingkat (Blok C) telah dibina dan digunakan sepenuhnya pada tahun 2000. Blok C ini mengandungi bilik-bilik darjah, bilik guru, pejabat SKJP (1) dan (2). Dengan terbinanya bangunan baru ini, SKJP (1) telah berubah wajah lebih ceria, tiada lagi bangunan lama (kayu). Guru besar pada masa ini ialah Puan Hajah Fadzillah Haji Mohd Pilus.

Banyak kejayaan yang dicapai pada tahun 1999 iaitu dalam bidang kokurikulum. Pasukan Boria Sekolah telah menjadi johan peringkat Wilayah Persekutuan dalam Karnival Pendidikan Pencegahan Dadah di Taman Tasik Titiwangsa. Pada tahun 2000, dua orang murid SKJP (1) berjaya mewakili Wilayah Persekutuan dalam olahraga MSSM di Langkawi iaitu Shafina bt. Mohd Ghazi dan Mohd Afiq b. Che Ros.

Taman   Sains   telah   diwujudkan   dengan   usaha   Puan   Hajah Fadzillah   dan   dinamakan   Taman   Bioteks   serta   dirasmikan   oleh Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan, Encik Ismail Sajad.

Pada tahun 2001, Puan Siti Zabedah Haji Sharif telah ditugaskan di SKJP (1). Beliau banyak membuat perubahan fizikal SKJP (1). Dengan sokongan padu dari guru-guru, kakitangan sekolah, wakil ibu bapa dan murid-murid mengadakan gotong royong untuk menceriakan bilik-bilik darjah, pejabat dan bilik-bilik khas (Bilik Guru, Bilik Gerakan, Bilik Tayangan).

Semoga dengan perkembangan ini terus wujud dan menjadikan sekolah ini sekolah yang terbaik di antara sekolah-sekolah yang baik.