Tuesday 5 August 2014

KEJOHANAN BALAPAN DAN PADANG SEJASA KALI KE – 66 / 2014



Kejohanan Balapan dan Padang Sejasa kali ke-66  telah diadakan pada 21 Julai 2014 bersamaan  hari Sabtu. Pn Tay Mee Yong selaku Guru Besar SK Jalan Pasar (1) merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak dalam menjayakan Kejohanan Balapan dan Padang Sejasa. Beliau juga menegaskan kepentingan aspek kokurikulum dan sukan  dalam sistem pendidikan masa kini yang berasaskan 6 tunjang KSSR iaitu Komunikasi, Kerohanian, Sikap dan Nilai, Kemanusiaan, Perkembangan Fizikal dan Estetika, Literasi Sains dan Teknologi serta Keterampilan diri. Justeru beliau berharap semua murid mengambil peluang dan bahagian dalam acara yang dipertandingkan dengan semangat kesukanan.


 Kejohanan ini telah dirasmikan oleh Naib Yang Dipertua PIBG iaitu Pn Normuzaimi binti Muhamad memandangkan Yang Dipertua PIBG iaitu En Abdul Menang bin Laitua mengalami sedikit kekangan dan kesulitan untuk menghadirkan diri serta merasmikan kejohanan ini. Sifat Pn Normuzaimi yang mesra dan mudah didekati menjadikan majlis perasmian lebih meriah. Harapan beliau agar semua peserta  yang bertanding menunjukkan semangat kesukanan dan  program sedemikian dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.


Tepat jam 8.30 pagi, upacara perbarisan dimulakan dengan barisan  Pembawa Bendera Kejohanan SEJASA oleh Amirul Aiman bin Noor Azwi, Muhd Ayman bin Tebrit, Muhd Ilman Amin b Najmul Hossain, Noraishah bt Mohd Nasir dan Arham Ilhami bt Ahmad Azam. Barisan rumah Zuhal mendahului perbarisan, diikuti dengan rumah sukan Utarid dan diakhiri oleh Rumah Marikh.



Acara sukan dimulakan dengan acara larian 70 meter, diikuti dengan acara 3 x 70 meter, dan acara 3 x 120 meter.  Acara Sukaneka juga tidak ketinggalan dengan penyertaan daripada semua murid tahap 1 dan tahap 2. Sebelum ini, acara padang seperti lompat jauh, lontar peluru dan lompat tinggi telah disempurnakan pada 16 Jun 2014. Turut mendebarkan ialah acara utama tarik tali akhir kategori lelaki terbuka yang menemukan pasukan rumah Sukan Zuhal menentang rumah Utarid. Manakala bagi kategori perempuan terbuka pula di antara rumah Marikh menentang rumah Zuhal. Kejohanan diserikan lagi dengan acara pegawai yang melibatkan para guru dan ibu bapa dalam acara yang begitu meriah iaitu acara sukantara.



Dalam Kejohanan Balapan dan Padang Sejasa kali ke-66 ini, rumah Zuhal telah berjaya membuktikan sekali lagi apabila berjaya mengekalkan kejuaraan keseluruhan bagi kejohanan kali ini. Ini diikuti oleh rumah Utarid dan tempat terakhir rumah Marikh. Anugerah Olahragawan tahun 2014 telah disandang  oleh Saudara Muhammad Amer Aijaz bin Zahalan dari Tahun 4 Bestari, manakala Saudari Intan Nur Aini binti Mohd Halim  dari 4 Bestari, terpilih sebagai Olahragawati.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Guru Besar , Pn Tay Mee Yong , Naib Yang Dipertua PIBG,  barisan Guru Penolong Kanan dan barisan AJK PIBG. Penurunan bendera kejohanan dan lagu Negaraku mengakhiri Kejohanan Balapan dan Padang Sejasa kali ke-66 pada jam 12.00 tengah hari. Sebelum bersurai, jawatankuasa Kejohanan Balapan dan Padang disajikan dengan jamuan.